Gantung, tarik lesen jika terlibat seleweng barang subsidi

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) ketika melakukan tinjauan di pasar Sungai Golok, Thailand di sini hari ini.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) ketika melakukan tinjauan di pasar Sungai Golok, Thailand di sini hari ini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menggantung dan menarik lesen serta melakukan pendakwaan ke atas mana-mana syarikat yang didapati terlibat dengan penyelewengan barangan subsidi kerajaan melalui aktiviti penyeludupan ke negara jiran.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penguatkuasaan berterusan itu penting bagi memastikan aktiviti tersebut dapat dikurangkan.

"Tujuan kita satu iaitu mahu rakyat dapat menikmati subsidi yang disediakan kerajaan dengan sebaik mungkin.

"KPDNHEP sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam menjalankan kegiatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pasar Sungai Golok, Thailand di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman.

Menurutnya, hasil tinjauan yang dilakukan mendapati terdapat barangan subsidi untuk rakyat Malaysia turut dijual di sekitar pasar berkenaan.

Katanya, tinjauan itu juga secara tidak langsung memberikan maklumat jelas kepada KPDNHEP mengenai ketirisan barangan subsidi.

Artikel Berkaitan:

"Ini lawatan kedua saya ke Sungai Golok kerana kita sedia maklum kerajaan menghadapi kebocoran rentas sempadan dan industri.

"Malah kegiatan ini (penyeludupan barangan subsidi) bukan perkara baharu sebaliknya sejak sekian lama," katanya.

Saifuddin berkata, apa yang dilihat hari ini memberi input penting kepada KPDNHEP sebelum memperincikan masalah yang berlaku, dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah itu.

"Walaupun sukar untuk menangani isu ini berikutan sempadan yang luas dan kekangan kakitangan, tetapi KPDNHEP tetap berusaha dalam mengurangkan kegiatan tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!