'Robin Hood' Perak pulang bergaya

Atlet Perak, Adam Danish Darwish Mohd Zaini mengungguli kategori memanah compound individu lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya hari ini. Foto Bernama
Atlet Perak, Adam Danish Darwish Mohd Zaini mengungguli kategori memanah compound individu lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MENDARAT di Bumi Kenyalang dengan status bukan pilihan tidak menghalang Robin Hood muda Perak melakar kejutan di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya di sini hari ini.

Pada usia 16 tahun, Adam Danish Darwish Mohd Zaini yang membuat penampilan pertamanya di pentas Sukan Malaysia (Sukma) mengetepikan lawan lebih berusia untuk menyambar pingat emas acara compound lelaki.

Anak ketiga daripada empat beradik itu menewaskan wakil Melaka berusia 21 tahun S Praveen 140-136 yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala pingat gangsa dimenangi seorang lagi wakil Perak, Abdul Faathir Aqil Rafizam, 20.

Adam Danish Darwish ketika ditemui pemberita mengakui turun dengan status bukan pilihan, tidak memberikan sebarang tekanan malah masih terkejut mampu mencipta kejayaan pada final acara individu pertama dalam kariernya.

"Perasaan lepas menang terkejut sebab kali pertama bermain untuk Sukma, kali pertama beraksi di final individu sebab biasanya main berpasukan atau berpasukan campuran. Alhamdulillah, saya tiada tekanan (sebab) baru lagi dan orang tak kenal.

"Dua minggu sebelum ke Sukma, saya tidak duduk rumah sebab berlatih di UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan kebanyakan latihan saya di sekolah (Sekolah Sukan Malaysia Pahang),” kata anak jati Seremban, Negeri Sembilan yang tinggal di Teluk Intan, Perak itu.

Mengenai penglibatannya dalam sukan memanah, Adam Danish Darwish berkata beliau mungkin akan terus beraksi di pentas Sukma hingga berusia 21 tahun dan kemudiannya mengejar cita-citanya untuk bergelar juruterbang.

Sementara itu dalam saingan wanita, pemanah Johor Nur Farah Aziera Shamsuddin mendahului satu mata untuk mememastikan menang emas mengecewakan M Pristiswary dari Pulau Pinang dengan 138-137 manakal wakil Pahang, Safi Qurratu Aini Saifol Anuar memanah gangsa.

Artikel Berkaitan:

Terengganu dan Perak masing-masing mengungguli kategori compound berpasukan lelaki dan wanita, apabila menumbangkan Sabah (226-221) dan Johor (221-220) dalam perlawanan penentuan pingat emas.

Trio lelaki Terengganu diwakili Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki, Muhammad Amiruddin Zulkifli dan Muhammad Hazmi Aisar Azmi manakala Fatiha Uzzair, Nur Qurratul Zaqieya Mohd Yusuf dan Puteri Nuryn Jazlina Hairol Supfian wakil wanita Perak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!