Enam ditahan kes gaduh kedai makan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Enam individu telah ditahan berhubung kes pergaduhan di kedai makan yang videonya tular di media sosial, Selasa lalu.

Kesemua tiga lelaki warga tempatan dan tiga warga Myanmar berusia antara 31 hingga 50 tahun itu ditahan di lokasi berasingan pada Rabu dan Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku di sebuah restoran di Jalan Laxamana, Taman Jubilee sekitar jam 1.25 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, berlaku pertengkaran mulut antara dua pelanggan dengan seorang pekerja restoran itu disebabkan tersalah hantar pesanan makanan.

"Pertengkaran itu kemudiannya membawa kepada pergaduhan fizikal.

"Dalam kes ini, dua pelanggan tersebut mengalami kecederaan manakala pekerja terlibat telah melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, polis tidak menerima sebarang laporan dibuat individu terlibat, namun terdapat video tular memaparkan pergaduhan tersebut antara beberapa lelaki sambil disaksikan orang ramai.

Katanya, tangkapan terhadap semua yang terlibat dalam video tular itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati, kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar Harian melaporkan, hanya kerana silap menghantar makanan, sekumpulan lelaki bergaduh hingga menimbulkan kekecohan di sebuah kedai makan.

Insiden itu tular selepas satu rakaman video berdurasi 33 saat dikongsi di media sosial.

Menerusi rakaman itu, berlaku tolak-menolak antara individu terlibat dan beberapa lelaki memegang kerusi makan yang telah patah dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Seorang lelaki lain juga dilihat memegang sebatang kayu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!