Remaja maut tercampak dalam kes langgar lari
KULAI - Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera dalam insiden langgar lari di Jalan Desa Idaman, Taman Desa Idaman, Senai di sini pada awal pagi Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan berkenaan sekitar jam 4.30 pagi.
Katanya, kedua-dua mangsa merupakan dua lelaki warga tempatan berusia 15 dan 16 tahun.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Taman Senai Jaya menghala ke Taman Desa Idaman telah berlanggar dengan sebuah lori yang secara tiba-tiba mengubah haluan dari lorong kiri ke kanan bagi membuat pusingan U.
"Akibat perlanggaran itu penunggang motosikal berusia 16 tahun tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.
"Dalam masa sama pembonceng pula cedera dan menerima rawatan di Hospital Temenggong Sei Maharaja Tun Ibrahim," katanya.
Sehingga kini lori yang terlibat telah melarikan diri dan sehingga kini masih belum membuat laporan.
Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang menyebabkan kematian secara melulu atau membahayakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!