'Henti kata hakim terkhilaf, keputusan berdasarkan mahkamah undang-undang'

Najib hadir bagi perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi pada Khamis.
Najib hadir bagi perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hakim perbicaraan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengingatkan pasukan pembelaan bahawa keputusan yang dibuat hakim ialah keputusan dari mahkamah undang-undang.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata demikian selepas peguam bekas Perdana Menteri itu, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi pada masa itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bergantung pada prinsip undang-undang yang salah dalam memutuskan kes jenayah SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib.

Hakim Sequerah berkata, "Berhenti mengatakan hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan terkhilaf atau tersalah. Ia keputusan mahkamah undang-undang dan anda seharusnya menggunakan perkataan 'boleh dibezakan' dan bukannya terkhilaf.

"Anda berhak mempunyai pandangan tetapi hal ini (keputusan kes SRC) ialah keputusan mahkamah undang-undang," kata Hakim Sequerah apabila Wan Azwan Aiman membuat penghujahan pada akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Penghujahan bersambung pada 2 September ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!