Abd Rahim Yassin dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22

Abd Rahim dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dalam Istiadat Pemasyhuran di Balai Undang Luak Rembau pada Khamis.
Abd Rahim dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dalam Istiadat Pemasyhuran di Balai Undang Luak Rembau pada Khamis.
A
A
A

REMBAU - Datuk Sedia Raja Abd Rahim Yassin dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dalam Istiadat Pemasyhuran di Balai Undang Luak Rembau di sini pada Khamis.

Istiadat itu dimulakan dengan acara pengumuman diikuti tembakan meriam dan Istiadat Menjemput sebelum Lagu Luak Rembau dimainkan seterusnya penyerahan Keris Pesaka kepada Abd Rahim.

Majlis kemudian diteruskan dengan Istiadat Menjunjung Kasih dan lafaz ikrar sebelum bacaan doa yang dipimpin oleh Timbalan Mufti Negeri Sembilan Amran Awaludin.

Abd Rahim dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Datuk Perba Abdul Razak Mohd Yassin kerana berjaya melaksanakan Proses Pemilihan Pesaka Undang Luak Rembau mengikut tatacara.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Abdul Razak serta Pegawai Daerah Rembau Mohd Zamri Mohd Esa yang mempengerusikan istiadat berkenaan dan semua pihak yang hadir sebagai tanda sokongan terhadap beliau serta institusi adat di Luak Rembau.

"Berkenaan kemelut yang berlaku sepanjang proses pemilihan ini, kami memberi jaminan perkara ini akan diambil tindakan sewajarnya. Terima kasih kepada pihak yang memberi pandangan," katanya.

Pemilihan Undang Luak Rembau diadakan bagi menggantikan Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei.

Pemilihan Undang di Negeri Sembilan perlu dipilih daripada calon-calon Suku Biduanda selaku suku asal di negeri ini dan terdapat 12 Suku dalam sistem Adat Perpatih.

Artikel Berkaitan:

Abd Rahim, 68, yang dilahirkan di daerah ini ialah Orang Besar Undang Yang Empat bergelar Datuk Shahbandar mulai Februari 1999 dalam Institusi Undang Luak Rembau.

Beliau berpengalaman sebagai guru di beberapa sekolah di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan serta pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Rembau sebelum bersara pada 2014.

Bapa kepada tujuh cahaya mata itu juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Rembau 2015 dan Tokoh Guru Daerah Rembau pada 2016 selain dilantik Ahli Majlis Daerah Rembau sejak 2017 sehingga kini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!