Warga emas rugi RM178,700 terpedaya 'phone scam'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang warga emas kerugian RM178,700 selepas terperdaya dengan panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku daripada Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru, di Nilai semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berusia 60 tahun itu pada 11.57 malam, Rabu lepas.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 25 Julai apabila mangsa dihubungi oleh suspek yang mengaku dari cawangan AMLA, memaklumkan bahawa akaun bank warga emas itu terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudiannya telah diarahkan untuk membuat pindahan ke dalam lima akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM178,700.

"Pengadu menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya sebelum bertindak membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Abdul Malik berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata orang awam dinasihatkan agar membuat semakan melalui portal Semakmule (https://semakmule.rmp.gov.my) sebelum membuat sebarang pemindahan wang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!