Exco tanggung sendiri perbelanjaan isteri ke Sukma Sarawak - MB

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyangkal dakwaan kehadiran isteri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mustafa Nagoor di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak ditaja kerajaan negeri.

Beliau berkata, Mustafa menggunakan perbelanjaan sendiri untuk membawa isterinya ke temasya sukan di Kuching, Sarawak itu tanpa melibatkan perbelanjaan kerajaan negeri.

"Apa salahnya jika dia (Mustafa) nak bawa isteri, dia pergi bukan sehari dua, tetapi lama iaitu sepanjang Sukma berlangsung.

"Jadi, apa salahnya jika dia keluarkan perbelanjaan sendiri, beli tiket dan makan sendiri, itu tak menjadi kesalahan pun," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Kerjaya Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman terlalu penat dan kemungkinan tidak cukup rehat kerana turut terlibat menguruskan kontinjen Sukma Negeri Sembilan.

Sebelum ini, ADUN dan Ahli Parlimen kerajaan di negeri itu dilantik sebagai Bapa Angkat untuk setiap acara sukan dengan Saiful Yazan menjadi Bapa Angkat sukan hoki.

"Alhamdulillah keadaan beliau semakin baik, tiada yang serius dan kita doakan supaya beliau cepat sembuh dan kembali berkhidmat kepada rakyat di Johol,” katanya.

Saiful Yazan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan tidak sedarkan diri akibat serangan jantung, petang semalam ketika dalam perjalanan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!