Pemuda UMNO mahu Syed Hussein tanding DUN Mahkota

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mengusulkan supaya pemimpin sayapnya di Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor yang dijadual berlangsung pada 28 September depan.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, keputusan untuk mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Kluang itu mengambil kira kredibiliti yang dimiliki pemimpin tersebut.

“Ada orang tanya kenapa umum nama calon awal, kita tidak peduli kerana calon kita bagus dan kita hendak beritahu bahawa calon kita boleh menang. Insya-ALLAH kalau kamu tercalon, akan tambah lagi seorang wakili rakyat daripada pemuda.

“Hussein, kalau kamu tercalon, kamu bukan membawa diri kamu (sahaja) tetapi kamu bawa maruah Pemuda UMNO Malaysia,” katanya ketika menggulung ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal ketika menyampaikan ucapan menyatakan kesediaan sekiranya calon daripada sayapnya diberi kepercayaan sekali lagi bertanding di DUN berkenaan selepas calon muda yang ditampilkan pada PRK DUN Nenggiri, Kelantan berjaya menang besar baru-baru ini.

Dalam pada itu, Wanita UMNO turut menuntut agar kerusi berkenaan kekal diberikan kepada calon wanita bagi mengekalkan legasi di kerusi tersebut yang berjaya memperoleh majoriti besar melebihi 5,000 undi dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 2022.

Sementara itu, ditanya mengenai tuntutan yang bertindih dengan Wanita UMNO yang turut mahukan kerusi berkenaan, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, perkara tersebut merupakan biasa.

“Itu biasalah tapi apa sekali pun kita akan akur pada pimpinan parti dan kita di pihak pemuda ada calon kita dan wanita ada calon mereka. Semua orang ada calon masing-masing, jadi tidak salah.

Artikel Berkaitan:

“Bila dipilih itu, kita pastikan calon yang terbaik. Saya jarang mengusulkan calon tetapi kalau kita usulkan calon itu, memang calon itu kita rasa itulah yang paling baik untuk rakyat seperti contoh kita dah menang di Nenggiri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota, Johor pada 28 September.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!