Lima ditahan, ugut minta wang lindungi aktiviti ubah suai meter elektrik

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan tahanan reman pada Khamis.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan tahanan reman pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ugut minta wang rasuah bagi melindungi aktiviti pengubahsuaian meter elektrik di kawasan kediaman, lima ahli sindiket ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Menurut sumber, sindiket penipuan itu berjaya dilumpuhkan oleh SPRM apabila mengugut orang ramai dengan meminta wang rasuah kononnya bagi melindungi aktiviti pengubahsuaian meter elektrik di kawasan kediaman sekitar Lembah Klang.

Sumber berkata, lima ahli sindiket yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 30-an telah ditahan di sekitar Kuala Lumpur.

"Susulan penahanan itu, Majistret Nadiah Abd Razak membenarkan empat suspek lelaki direman selama enam hari sehingga Selasa, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis," katanya pada Khamis.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menghubungi dan menjalankan pemeriksaan di premis pelanggan dan mengatakan bahawa mangsa telah mengubah suai meter elektrik tanpa kebenaran.

Jelasnya, mangsa diugut akan dikenakan tindakan saman dengan nilai puluhan ribu ringgit jika enggan membayar rasuah bagi melindungi kesalahan tersebut.

Katanya, jumlah wang rasuah dianggarkan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap premis yang diperiksa bergantung sama ada premis kediaman atau perniagaan.

Kata sumber, dalang sindiket berusia 30-an dan dua ahli kumpulan lain merupakan kontraktor syarikat pembekal tenaga elektrik bagi menjalankan kerja-kerja memotong bekalan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dua orang lagi merupakan individu yang terlibat mendapatkan maklumat mengenai mangsa-mangsa yang dikenal pasti oleh sindiket.

"Hasil soal siasat mendapati sindiket ini telah mengaut ratusan ribu ringgit dan ia melibatkan ribuan mangsa di seluruh negara," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM tidak menolak lebih ramai lagi anggota sindiket akan ditangkap dan dipercayai sindiket tersebut telah beroperasi lebih setahun.

"Orang ramai yang menjadi mangsa sindiket ini diminta melaporkan kes dengan menghubungi pegawai penyiasat, R Kumaran di talian 03-88911657," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!