Tengku Puteri Afzan, FD Idzham selamat diijabkabulkan

FD Idzham menyarungkan cincin di jari Tengku Puteri Afzan selepas selesai Istiadat Akad Nikah di Balai Mahkota, Istana AbdulAziz pada Khamis.
FD Idzham menyarungkan cincin di jari Tengku Puteri Afzan selepas selesai Istiadat Akad Nikah di Balai Mahkota, Istana AbdulAziz pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan, FD Idzham FD Iskandar selamat diijabkabulkan dengan dua kali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah sekitar jam 9 malam, Khamis.

Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat Pahang di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz yang turut dihadiri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Al-Sultan Abdullah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah berkenan memberi izin kepada Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim untuk mewakilkan baginda mengakadnikahkan anakanda Tengku Puteri Raja disaksikan oleh Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah sebagai saksi pertama, Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah sebagai saksi kedua, dua saksi dari pihak pengantin lelaki dan seluruh hadirin yang hadir.

Tuanku Azizah berkenaan menjalankan istiadat merenjis pasangan pengantin selepas selesai upacara penyerahan mas kahwin berupa senaskhah al-Quran dan menyarung cincin di Balai Mahkota, Istana AbdulAziz pada Khamis.
Tuanku Azizah berkenaan menjalankan istiadat merenjis pasangan pengantin selepas selesai upacara penyerahan mas kahwin berupa senaskhah al-Quran dan menyarung cincin di Balai Mahkota, Istana AbdulAziz pada Khamis.

Majlis akad nikah yang bermula sekitar jam 8.50 malam itu dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah, lafaz syahadah dan bacaan khutbah.

FD Idzham mengenakan busana Melayu dan bersamping putih sedondon kelihatan tenang sewaktu lafaz akad yang disempurnakan oleh Dr Asmadi.

Seterusnya, FD Izham melafazkan lafaz taqlik dan seterusnya diiring keluar untuk menunaikan solat sunat nikah.

Tengku Puteri Afzan menerima senaskah al-Quran sebagai mas kahwin.

Artikel Berkaitan:

Istiadat bersejarah itu disiarkan secara langsung melalui dua layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan di Tasik Kotasas.

Majlis turut dihadiri 110 jemputan khas dan istimewa kerabat bergelar, ahli keluarga dan teman rapat.

Istiadat dilanjutkan dengan keberangkatan masuk Tengku Afzan yang turut mengenakan persalinan serba putih ke dalam Balai Mahkota, istana terbabit bagi upacara penyerahan mas kahwin berupa senaskah Al-Quran dan menyarung cincin.

Istiadat berakhir dengan bacaan dan doa selamat serta istiadat merenjis yang dimulakan oleh ayahanda Puteri Raja, Al-Sultan Abdullah.

Terdahulu, Pengelola Bijaya Diraja Utama Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung pada tiga hari iaitu 22, 23 dan 25 Ogos ini.

Majlis akad nikah akan diikuti berinai Jumaat ini dan bersanding pada Ahad.

Al-Sultan Abdullah mempunyai empat putera dan lima puteri.

Mereka ialah Tengku Hassanal; Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah; serta lima Tengku Puteri Raja iaitu Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Puteri Ilyana, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Tengku Puteri Afzan, 23, merupakan kembar kepada Tengku Ahmad Ismail, hasil perkahwinan Al-Sultan Abdullah, 65, dan Tunku Azizah, 64.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!