Sektor swasta di Melaka tak tertakluk hari kelepasan am Isnin ini

Sektor swasta yang beroperasi di Melaka tidak tertakluk kepada Hari Kelepasan Am (Tambahan) Melaka sempena hari jadi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka. Gambar hiasan
Sektor swasta yang beroperasi di Melaka tidak tertakluk kepada Hari Kelepasan Am (Tambahan) Melaka sempena hari jadi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka. Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Sektor swasta yang beroperasi di Melaka tidak tertakluk kepada Hari Kelepasan Am (Tambahan) Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka pada Isnin ini (26 Ogos).

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan Hari Kelepasan Am (Tambahan) itu merupakan hari kelepasan am pilihan dan tidak wajib diberikan kepada pekerja sektor swasta.

"Bagaimanapun, mana-mana majikan yang memilih cuti Sambutan Hari Jadi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka sebagai hari kelepasan am, syarikat hendaklah memberikan cuti kelepasan am bergaji kepada pekerja pada 26 Ogos itu.

"Majikan dengan persetujuan pekerja boleh juga untuk menggantikan cuti tambahan tersebut pada hari lain (selain 26 Ogos) sebagaimana peruntukan seksyen 60D(1A) Akta Kerja 1955," menurut kenyataan itu.

Kerajaan Melaka sebelum ini mengisytiharkan Isnin ini sebagai Hari Kelepasan Am (Tambahan) sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang Diertua Negeri Melaka selaras dengan Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369). - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!