Pertembungan sengit JDT, Selangor FC

Bergson (kanan) dijangka mengetuai jentera serangan JDT pada final Piala FA menentang Selangor FC di Bukit Jalil pada Sabtu. Foto: Johor Southern Tigers
Bergson (kanan) dijangka mengetuai jentera serangan JDT pada final Piala FA menentang Selangor FC di Bukit Jalil pada Sabtu. Foto: Johor Southern Tigers
A
A
A

PERLAWANAN akhir Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada Sabtu dijangka menjadi aksi yang menarik dan sengit melihatkan reputasi kedua-dua pasukan ketika ini.

Penganalisis bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus berkata, skuad JDT dijangka terus menjadi pilihan untuk menjulang piala tersebut, namun Selangor berpotensi untuk mencipta kejutan.

Menurutnya, kedua-dua pasukan akan tampil dengan taktikal ampuh dan permulaan perlawanan akan menjadi terbuka sebelum pasukan yang terbaik pada aksi final itu akan muncul juara.

“Pada saya motivasi Selangor untuk menang memang besar terutama untuk buat kejutan di samping sokongan luar biasa yang akan diterima daripada penyokong.

“Kita tahu pilihan untuk menang memang JDT. Tetapi, sejak akhir-akhir ini JDT bukan nak kata goyah, namun ada pasukan yang mampu menghentikan mereka daripada menjaringkan banyak gol seperti PDRM (seri 1-1 dalam Liga Super).

“Ini yang menjadikan perlawanan itu terbuka dan ini adalah perlawanan akhir dan siapa pun mampu muncul juara jika tampil dengan persembahan lebih baik,” katanya kepada Sukan Sinar.

JDT dilabel sebagai pasukan pilihan dan dalam rentak terbaik untuk melebarkan kejuaraan ketiga berturut-turut selepas memenanginya pada 2022 dan 2023.

Selangor pula kembali menjejakkan kaki ke pentas final selepas kali terakhir pada 2018 dan mendambakan kejuaraan keenam dalam edisi ke-34 itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fauzi juga percaya kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri namun Selangor perlu lebih klinikal sekiranya mahu merobek gawang JDT.

“Pengendali Selangor, Nidzam Jamil mungkin bermain secara berhati-hati sedikit sebelum mencari peluang untuk mencipta serangan.

“Namun, mereka perlu klinikal kerana saya melihat mereka tidak akan dapat banyak peluang untuk mengancam kubu JDT.

“JDT pula kita tahu mereka sangat solid di semua bahagian, tetapi tetap perlu berwaspada dengan serangan balas Selangor,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!