Tukang jahit bersengkang mata siapkan baju merdeka

Zamzurina menunjukkan antara pakaian tema merdeka yang telah siap dijahit dan sedia dijual kepada pelanggan ketika ditemui di gerai jualannya di Bandar Jertih, Besut.
Zamzurina menunjukkan antara pakaian tema merdeka yang telah siap dijahit dan sedia dijual kepada pelanggan ketika ditemui di gerai jualannya di Bandar Jertih, Besut.
A
A
A

BESUT - Seorang tukang jahit tidak dapat tidur lena dan terpaksa bersengkang mata demi menyiapkan pakaian sempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Zamzurina Abdul Kadir, 45 berkata, permintaan terhadap pakaian bertemakan kemerdekaan pada tahun ini meningkat lebih-lebih lagi menjelang 31 Ogos depan.

"Setakat ini pelbagai jenis pakaian hasil gabungan warna bendera Malaysia untuk jualan dan sewa mendapat pulangan berganda.

"Dalam tempoh seminggu hasil jualan saya terima mencecah RM2,000 dan dijangka mampu capai RM8,000 dalam tempoh sebulan," katanya ketika ditemui di gerainya di Bandar Jertih di sini, baru-baru ini.

Zamzurina memberitahu, sambutan bulan kemerdekaan saban tahun ibarat 'bonus tahunan' buat tukang jahit sepertinya kerana hasil jahitan mendapat permintaan tinggi.

Katanya, berdasarkan pengalaman hampir lima tahun menjahit baju merdeka, tempahan diterima meningkat mendadak dalam tempoh dua bulan iaitu bermula Ogos hingga September.

"Walaupun letih, saya rasa seronok kerana jualan pada bula ini mengatasi bulan-bulan lain termasuk ketika musim perayaan.

"Dalam tempoh tidak sampai sebulan ini saya telah menyiapkan hampir 100 helai pakaian kanak-kanak dan dewasa dengan rekaan terbaru iaitu kombinasi baju tradisional serta moden yang bertemakan kemerdekaan,"ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada lapan anak itu berkata, rekaan tersebut dipilih agar mengikut cita rasa pengguna serta selari dengan fesyen terkini serta boleh digayakan ketika sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

"Misalnya, selain baju-baju bertemakan pahlawan Melayu yang dijahit dengan gabungan warna-warna bendera Malaysia, saya juga menggunakan kombinasi tradisional dan moden bagi menghasilkan baju gaun untuk kanak-kanak perempuan.

"Kanak-kanak perempuan lebih gemarkan baju-baju seperti gaun dan dengan cara ini kita dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan di dalam diri mereka," katanya.

Jelas Zamzurina, harga sewa bagi setiap persalinan lengkap serendah RM30 hingga RM150 manakala bagi pakaian dijual pula bermula RM50 hingga RM250 sepasang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!