Jangan mudah tertipu deepfake AI

Khairul Aming mendedahkan dalam salah satu hantaran di media sosial – dirinya sekali lagi menjadi mangsa apabila wajah dan suaranya diubah suai semata-mata untuk jualan kuali harga runtuh.
Khairul Aming mendedahkan dalam salah satu hantaran di media sosial – dirinya sekali lagi menjadi mangsa apabila wajah dan suaranya diubah suai semata-mata untuk jualan kuali harga runtuh.
A
A
A

PENANGAN pengaruh selebriti media sosial dalam bab jualan online memang tidak boleh disangkal. Apa sahaja produk dipromosikan secara live di TikTok atau Instagram, waima di Shopee pasti laku keras sekelip mata.

Apatah lagi jika melibatkan individu dikenali ramai seperti instafamous selebriti masakan, Khairul Aming yang mempunyai pengikut mencecah lebih 3.2 juta orang.

Populariti dimiliki kadangkala menjadi ruang dan peluang kepada sindiket penipuan licik menggunakan taktik deepfake yang terhasil daripada kehebatan teknologi kecerdasan buatan (AI) demi meraih keuntungan atas angin.

Baru-baru ini, Khairul Aming mendedahkan dalam salah satu hantaran di media sosial – dirinya sekali lagi menjadi mangsa apabila wajah dan suaranya diubah suai semata-mata untuk jualan kuali harga runtuh.

Bukan setakat perkakas dapur, wajah usahawan Sambal Nyet itu juga dipergunakan untuk jualan peranti jam pintar dan banyak lagi sehingga ia berada di luar kawalan mangsa.

Sebelum ini wajahnya juga pernah digunakan melalui perisian reka bentuk grafik, Photoshop dan dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah serta kesan buruk kepada orang ramai.

Nampaknya, bukan hanya pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman menjadi sasaran scammer, malah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga tidak terlepas.

Pendedahan menerusi hantaran di Instagram menunjukkan personaliti bersuara lunak itu menerima panggilan telefon dan WhatsApp video menggunakan taktik deepfake secara live, kononnya menawarkan cadar murah.

Artikel Berkaitan:

Jika merujuk statistik didedahkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, jumlah kerugian direkodkan bagi kes pe-nipuan dalam talian (2022 sehingga Jun 2024) sebanyak RM2.65 bilion.

Kerugian pada 2024 sebanyak RM581 juta dan berlaku peningkatan secara keseluruhan bagi jumlah kerugian, 43.2 peratus pada 2022 iaitu RM851 juta kepada RM1.2 bilion bagi tahun 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen mendedahkan hampir 55,000 kes jenayah siber dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 bilion dilaporkan bagi tempoh 2021 hingga Julai tahun ini.

Rentetan daripada kes-kes membimbangkan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan supaya tampil membuat laporan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf sebelum ini tidak menafikan perkembangan teknologi AI yang cukup drastik dan ia boleh disalahgunakan.

Mana tidaknya, pakar dan saintis AI kini sangat bimbang mengenai perkembangan pesat dunia komunikasi moden yang boleh digunakan untuk tujuan jenayah dengan mudah.

Orang ramai terutama warga emas misalnya, antara golongan rentan yang dikatakan mudah terperdaya taktik deepfake, lebih-lebih lagi jika melibatkan individu berpengaruh seperti ahli politik, ahli perniagaan dan selebriti popular.

Memang membimbangkan jika mak ayah kita sewenang-wenangnya boleh digula-gulakan dengan promosi jualan murah tak masuk akal, sedangkan ia tidak wujud.

Cukuplah dengan contoh jualan kuali oleh ‘Khairul Aming’ yang terang-terang menggunakan taktik deepfake, masih ada lagi golongan emak-emak tertipu dan tidak percaya dengan kata-kata anak sampaikan boleh bikin gaduh.

Lagi satu, mereka juga sering menjadi sasaran pelaburan skim untuk meraih imbuhan segera dan tanpa sedar terlibat dalam kegiatan jenayah komersial selepas termakan umpan video palsu individu berpengaruh berkenaan.

Tidak hairanlah, pihak PDRM menjangkakan peningkatan kes jenayah siber dalam masa terdekat selepas ledakan penggunaan teknologi AI yang tiada kawalan.

Justeru, sudah tiba masanya pindaan undang-undang sedia ada wajar dilaksanakan bagi membanteras jenayah siber sebelum lebih ramai lagi orang kita menjadi mangsa.

* Arziana Mohmad Azaman ialah Wartawan Lifestyle SinarPlus Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!