Hilang anak sekelip mata

Izzah bersama anaknya.
Izzah bersama anaknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bagi seorang ibu, peristiwa kehilangan anak sangat memeritkan.

Sebagai insan mengandung dan melahirkan, pemergian anak benar-benar memberi kesan mendalam apatah lagi ia berlaku dalam jangka masa amat singkat.

Seperti kisah seorang wanita, Izzah Syazwani Zulpaka, 32, yang berdepan kehilangan bayi berusia tiga bulan dalam sekelip mata.

Menurutnya, bayi lelakinya bernama Muhammad Khasyah Imaleeq pada mulanya hanya demam biasa.

"Pada 12 Ogos lalu Khasyah buat pertama kali dalam hidupnya mengalami demam. Saya dan suami membawanya ke klinik swasta dan doktor yang merawat mengatakan anak saya demam biasa.

"Namun naluri saya sebagai ibu kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dia. Jadi saya buat keputusan untuk membawanya ke hospital.

"Pada detik itu bermulalah perjuangan saya sebagai seorang ibu untuk melihat satu-satunya anak sihat seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Izzah, setelah doktor di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) melakukan pemeriksaan, dukacitanya bayi tersebut disahkan terkena jangkitan yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, doktor memberitahu, jangkitan kuman berkenaan telah menyerang otak anaknya setelah dua kali membuat ujian darah.

"Hancurnya hati saya pada ketika itu hanya ALLAH SWT yang tahu. 13 Ogos merupakan hari penuh makna buat saya apabila buat kali terakhirnya saya menatap renungan penuh makna darinya. Selepas itu anak saya diserang sawan dan senyap dalam jangka masa yang lama.

Muhammad Khasyah Imaleeq
Muhammad Khasyah Imaleeq

"Doktor membuat keputusan untuk menidurkan anak saya selepas memberi suntikan untuk sawan tidak berkesan. Macam-macam cara doktor lakukan demi selamatkan anak saya. Allahu berkecainya hati seorang ibu menangis tidak henti apabila melihat keadaan anak yang amat menyedihkan.

"Sehinggalah 16 Ogos lalu doktor membuat keputusan untuk melakukan pembedahan setelah jangkitan kuman pada otak bayi semakin teruk. Air yang terjadi akibat jangkitan tersebut membengkak dan menyerang sepenuhnya otak anak saya," katanya.

Ujar Izzah, pada hari kedua bayi lelakinya itu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor memaklumkan anaknya berada dalam keadaan nazak.

Menurutnya, bagaimanapun bayi hanya bertahan sehingga 18 Ogos dan menghembuskan nafas terakhir dalam dakapan ibu pada jam 5.31 petang.

"Sakit sangat-sangat perasaan ini. Namun saya kena reda dan ikhlas melepaskannya. Bagaimanapun, syukur anak saya kembali kepada Penciptanya dalam keadaan yang cukup sempurna.

"Penyakit yang menyerang anak saya dikenali Ecoli Meninggitis. Ramai yang menjadi saksi perjuangan seorang ibu untuk anaknya dan anaknya berjuang untuk ibunya. Tapi ALLAH berkehendak lain. Saya bersyukur sekarang kerana ALLAH memilih saya dalam ujian maha hebat ini. Saya reda dengan ikhlasnya apa yang berlaku dan saya tahu ALLAH tidak menguji hambanya di luar kemampuan," ujarnya.

Sementara itu, Izzah menitip pesanan buat ibu di luar sana yang mempunyai bayi, pantau sebaiknya jika anak menghidapi demam.

Katanya, bermula dengan demam boleh menjadi asbab kepada penyakit-penyakit di luar jangkaan kita.

@sinarharianonline

Hilang anak sekelip mata #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Ibu #Anak #Kesihatan #Demam #Pemergian #Kehilangan

snowfall - Øneheart & reidenshi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!