14,000 Jalur Gemilang hiasi Felda Jengka 24
JENGKA - Bendera Jalur Gemilang mewarnai Felda Jengka 24 di sini dengan hampir 14,000 bendera sudah dipasang oleh penduduk sejak awal Ogos sempena bulan kemerdekaan tahun ini.
Aktiviti tradisi penduduk di sini yang bergotong-royong memasang bendera antara tarikan dan keistimewaan di Felda Jengka 24.
Selain bendera, penduduk menggunakan kreativiti masing-masing menghasilkan replika antaranya keris, kereta kebal untuk menambahkan lagi kemeriahan di rancangan terbabit.
Seorang penduduk, Normazaitul Aina Rosdan, 28, mengakui aktiviti tersebut sentiasa ditunggu olehnya setiap tahun.
"Rasa bangga dan teruja kerana dapat sama dengan penduduk bersama-sama memasang bendera di halaman rumah dan kawasan di setiap blok," ujar generasi kedua Felda terbabit.
Bagi Abdul Ghafar Yusof, 60, bukan hadiah menjadi ukuran sebaliknya semangat patriotik sempena kemerdekaan menjadikan dia dan penduduk lain mengerah kreativiti masing-masing menghiasi laman rumah mereka.
Ketua Blok, Bahrin Idi, 63, memberitahu, kira-kira 1,000 bendera di pasang setiap blok setakat ini.
"Terdapat 14 blok di sini dan penduduk amat bersemangat menjayakan aktiviti tahunan ini," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud mengakui sambutan penduduk tahun ini sangat memberangsangkan dan ia salah satu usaha memupuk semangat patriotik khususnya di kalangan generasi muda.
"Kita juga menganjurkan pertandingan rumah dan blok patriotik dan bukan sahaja rumah malah klinik kesihatan, masjid, sekolah dan pejabat turut dihiasi dengan pelbagai hiasan Jalur Gemilang," kata beliau yang menambah terdapat kira-kira 2,000 penduduk di rancangan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!