MB Terengganu dianugerahkan gelaran Ir
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dianugerahkan gelaran Jurutera Profesional atau Ir iaitu kelayakan tertinggi dalam profesion kejuruteraan di negara ini.
Perkembangan tersebut dikongsikan pemimpin nombor satu Terengganu itu menerusi hantaran di media sosialnya pada malam Khamis.
Menurutnya, untuk menerima anugerah itu, beliau terpaksa melalui proses yang agak panjang di bawah Registration of Engineers Act 1967 serta Registration of Engineers Regulation 1990 (Regulation 19).
"Hari ini saya menerima keputusan permohonan saya sebagai Jurutera Profesional atau Ir selepas selesai menjalani proses yang sepatutnya di Lembaga Jurutera Malaysia.
"Alhamdulillah, saya dengan rasminya turut bersama dengan keluarga jurutera profesional di Malaysia yang bilangannya hampir 8,000 orang ketika ini," tulis beliau.
Menurut perkongsian tersebut, Ahmad Samsuri mengakui beliau telah menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang jurutera ketika berada dibangku sekolah.
"Saya masih ingat ketika minggu pertama persekokahan pada Januari 1977, ketika itu saya Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Jertih, Besut.
"Ketika itu guru kelas bertanya kepada saya mengenai cita-cita untuk ditulis dalam buku peribadi setiap murid dan saya segera jawab mahu jadi 'engineer'," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, walaupun menjawat tugas eksekutif tertinggi di negeri ketika ini, ia bukan penghalang dan beliau tetap berusaha menjalani proses untuk menjadi jurutera profesional.
Jelas beliau, ia sebagai motivasi terhadap dirinya untuk lebih baik di masa depan.
"Cabaran akan tiba untuk menguji kita, itulah yang membezakan sama ada kita mampu menjadi yang terbaik atau tidak.
"Ia juga menjadi motivasi kepada semua anak-anak yang masih di alam persekolahan atau universiti untuk terus berusaha memajukan diri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!