SMK TTDI Jaya janjikan tentangan sengit

Pasukan SMK TTDI Jaya akan berdepan SMK Bukit Jelutong.
Pasukan SMK TTDI Jaya akan berdepan SMK Bukit Jelutong.
A
A
A

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya menjanjikan tentangan sengit apabila berdepan SMK Bukit Jelutong dalam perlawanan separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) di padang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 28 pada Jumaat.

Malah Ketua Jurulatih SMK TTDI Jaya, Kamal Lahami berkata, anak-anak buahnya sudah bersedia dan teruja untuk berdepan pasukan lawan yang juga jiran tetangga tersebut.

"Alhamdulillah, motivasi pemain-pemain berada pada tahap terbaik meneruskan momentum positif berdepan SMK Bukit Jelutong.

"Biarpun awal saingan kita mengambil sedikit masa membentuk gandingan pemain-pemain, namun alhamdulillah dari satu perlawanan ke satu perlawanan kita berjaya menambahbaik kualiti permainan.

"Jadi untuk perlawanan esok (Jumaat), kita akan memberikan aksi terbaik dalam padang berdepan pasukan SMK Bukit Jelutong," katanya.

Kedua-dua pasukan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana mara ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing.

SMK TTDI Jaya mara selepas menjinakkan cabaran SMK Pengkalan Permatang (PPD Kuala Selangor), 1-0 di padang Arena 26 Shah Alam.

Sementara itu SMK Bukit Jelutong pula mengesahkan kemaraan selepas menyingkirkan cabaran SMK Taman Jasmin 2, menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!