[VIDEO] PAU 2024: 72 usul tuntut keadilan, pengampunan Najib

A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU2024) menerima sebanyak 171 usul daripada keseluruhan 191 bahagian selepas 17,988 cawangan berjaya menamatkan persidangan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, daripada 171 usul itu, sebanyak 72 daripadanya adalah berkisarkan menuntut keadilan dan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, selagi Najib terperangkap di sebalik tirai besi itu, suara dan ikhtiar parti tersebut tidak akan pernah terhenti.

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

“Usul tertinggi daripada 72 bahagian adalah untuk kita terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh kepada ‘Bossku’ (Najib).

“Sesungguhnya, selagi Bossku terperangkap di sebalik tirai besi, suara dan ikhtiar UMNO tidak akan pernah terhenti malah berilah kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan tertinggi.

“Saya mohon untuk kita terus berdoa kerana doa inilah senjata kita. Semoga ALLAH melembutkan hati dan membuka jalan agar pembebasan Najib ini berlaku akhirnya mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam ucapan pembukaan PAU 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Suasana PAU 2024 di WTCKL pada Khamis.
Suasana PAU 2024 di WTCKL pada Khamis.



Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada Februari lalu, Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Sementara itu, Asyraf Wajdi memaklumkan parti itu menagih kudrat kekuatan daripada segala sumber dan disiplin pemimpin untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada bulan depan.

Ujarnya, PRK tersebut disusuli dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di empat negeri setiap tahun berturut-turut.

“Hakikatnya, kita telah diuji dan akan terus diuji. Namun, percayalah ALLAH SWT masih menyayangi. Yakinlah, di hujung terowong pasti ada yang menyinar,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!