Tanah runtuh: 52 orang diarah kosongkan kediaman

Keadaan di lokasi kejadian di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Kelang-Kem Wardiburn, di Kuala Lumpur. (Gambar kecil: Mohamad Lazim)
Keadaan di lokasi kejadian di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Kelang-Kem Wardiburn, di Kuala Lumpur. (Gambar kecil: Mohamad Lazim)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 52 orang penghuni di 17 buah rumah di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Kelang-Kem Wardiburn, di sini, diarahkan mengosongkan rumah mereka susulan insiden tanah runtuh pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner, Mohamad Lazim Ismail berkata, mangsa terdiri daripada 26 lelaki dan 26 wanita diarah mengosongkan kediaman masing-masing kerana dibimbangi berlaku tanah runtuh susulan.

"Satu pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Badminton Taman Bunga Raya untuk semua penghuni yang terjejas dalam kejadian itu.

“Selebihnya memilih untuk menumpang di rumah saudara-mara dan menginap di hotel," katanya ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada Jumaat.

Mohamad Lazim berkata, tiada kediaman yang terjejas dalam kejadian itu, cuma sebuah rumah berada dekat dengan tebing yang runtuh, dengan jarak kira-kira 0.6 meter.

“Berikutan itu, atas nasihat pihak bomba, penduduk di 17 kediaman terbabit dinasihatkan berpindah kerana lokasi masih berisiko,” katanya.

Mengulas lanjut, kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.30 petang, pada Khamis susulan hujan lebat lebih dua jam yang melanda ibu kota.

“Pada pagi ini, pihak bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyambung tugas pembersihan dan kawasan tebing yang terjejas ditutup dengan kanvas.

Artikel Berkaitan:

“Malam tadi, pasukan bomba belum memasuki kawasan terjejas kerana dikesan masih berlaku sedikit pergerakan tanah, justeru pemeriksaan dan pembersihan dilakukan pada pagi ini,” katanya.

Tambah Mohammad Lazim, pihaknya juga menempatkan balai polis bergerak di lokasi untuk melakukan pemantauan bersama pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan DBKL.

"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ke lokasi bagi membantu mengkoordinasi pemindahan semua penghuni yang terjejas," katanya.

Pada Khamis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan sebahagian dinding penahan tanah runtuh sehingga menjejaskan sebuah rumah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!