Naik taraf Lebuh Raya Shah Alam, pengguna diminta berhati-hati
SUBANG JAYA - Lebuh Raya Shah Alam (LSA) dari Kilometer (KM) 33.6 hingga KM35 (arah timur) dari Persimpangan Hicom ke Hentian Sebelah Hicom akan terlibat kerja naik taraf.
Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia membabitkan kerja penambahan lorong dari tiga ke empat lorong sebagai langkah mitigasi untuk mengurangkan kesesakan.
Menurut kenyataan itu, penutupan lorong dan lencongan sementara akan dilakukan bagi melancarkan kerja di lokasi.
"Ia akan dilakukan dari jam 11 malam hingga 5.30 pagi setiap hari bermula Jumaat dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada hujung September ini.
"Pengguna dinasihatkan memandu dengan berhati-hati dan mematuhi arahan papan tanda yang disediakan bagi tujuan keselamatan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Ujar kenyataan itu, naik taraf itu juga ke arah menyediakan perjalanan lebih lancar dan mengurangkan masa perjalanan pengguna di lebuh raya itu.
"Pihak Kesas Sdn Bhd (Kesas) memohon maaf atas sebarang kesulitan daripada penutupan lorong sementara ini. Kami berusaha untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kami," katanya.
Sebarang pertanyaan hubungi talian bantuan Kesas di 03-5633 7188, layari laman sesawangwww.kesas.com.my atau media sosial rasmi kami di Facebook (/lebuhrayashahalam) atau X (@kesastrafik).
ALR merupakan syarikat swasta yang terdapat empat konsesi tol di bawah seliaannya iaitu Kesas, Lingkaran Trans Kota (Litrak), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong (Smart).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!