Umar sambar emas keempat, tutup penampilan di Sukma dengan bergaya
ATLET kebangsaan, Umar Osman terus mencuri tumpuan apabila memperbaharui rekod Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara 800 meter (m) lelaki berusia 32 tahun di Stadium Sarawak di sini hari ini.
Umar yang mewakili Johor berada dalam kelas tersendiri apabila jauh meninggalkan pencabarnya untuk memenangi perlumbaan akhir dengan kepantasan satu minit 51.19 saat (s) sekali gus merangkul pingat emas peribadi keempat pada Sukma 2024.
Catatan itu memadam rekod temasya 1:52.35s milik G. Ampumani yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada edisi 1992 di Johor.
Rabu lepas, atlet berusia 21 tahun itu menambah koleksi emas ketiganya sambil memecahkan rekod temasya ketika mengungguli acara 400m lelaki dengan catatan 46.78s untuk mempertahankan gelaran dimenangi pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.
Umar sebelum itu membantu Johor memenangi emas 4x400m campuran dan 4x400m lelaki dengan memecahkan rekod temasya.
"Saya amat bersyukur yang saya dapat bantu Johor untuk dapatkan empat pingat emas dan tiga rekod temasya.
"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan saya dan saya bersungguh-sungguh untuk bantu Johor perbaiki ranking di Sukma dan bantu pasukan olahraga Johor dapat nombor satu,” kata Umar yang membuat penampilan terakhir di Sukma kali ini.
Sementara itu, pingat perak acara berkenaan menjadi milik P. Risheraam dari Wilayah Persekutuan dengan masa 1:55.31s manakala wakil Pahang S. Sri Murugan ketiga dengan catatan 1:55.46s.
Rakan sepasukan Umar, S. Geetha mendominasi final 800m wanita dengan mencatat masa 2:20.41s, diikuti Nor Ainaa Balqis Hashim dari Kelantan di tempat kedua (2:22.21s) dan wakil Sabah Hizillawanty Jamain ketiga dengan masa 2:22.54s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!