UMNO perlu bangkit tangani kedinginan orang Melayu - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena PAU 2024 di WTCKL pada Jumaat.
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena PAU 2024 di WTCKL pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO perlu segera bangkit menangani kedinginan orang Melayu untuk membolehkan parti terus bergerak de depan diiringi sokongan kuat akar umbi.

Presidenya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana sentimen dan persepsi yang dimainkan pihak tertentu menjadi antara punca rakyat menolak parti Melayu terbesar negara itu.

“Saya dan Timbalan (Datuk Seri Mohamad Hasan) senada memberikan keprihatinan terhadap kedinginan di luar sana (terhadap UMNO) dan kita mesti bangkit untuk mengatasi perkara itu.

“Ini sebenarnya menjadi cabaran besar buat kita untuk menangkap kembali imaginasi mereka (orang Melayu). Lebih malang, kita ditolak hanya dek kerana cemuhan dan nista. Persepsi yang ditanam memadam segala jasa dan kebaikan yang kini mereka nikmati bersama.

“Namun tidak dinafikan, ada juga kelalaian dan kesilapan yang pernah kita lakukan menjadikan mereka terus dingin dengan UMNO.

“Bukan niat kita untuk menyalahkan mereka akan tetapi kita bimbang dan khuatir, apakah bentuk negara pada masa hadapan, andai penilaian generasi muda, banyak disandarkan kepada persepsi semata-mata,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Rabu lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri mengakui belum ada petunjuk jelas orang Melayu mulai kembali mendukung parti itu.

Menurutnya, meskipun melakar kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, ia bukan tanda aras bagin kepulihan sepenuhnya UMNO.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan benih-benih fitnah, persepsi buruk dan pembohongan menjadi tsunami sangat besar hingga tidak mampu ditangkis dengan jasa dan sumbangan parti yang lebih enam dekad berkhidmat kepada rakyat.

“Malah, selepas PRU15, gelombang persepsi fitnah dan pembohongan terus menggoncang pelayaran Kerajaan Perpaduan ini kerana benih yang disemak sekian lama tekah berakar umbi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!