Ejen warga asing kena tunggu 'lampu hijau' pegawai imigresen

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Azam)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Azam)
A
A
A

SHAH ALAM - Ejen sindiket perlu menunggu 'lampu hijau' daripada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di kaunter balai ketibaan lapangan terbang, sebelum warga asing yang tiba dibenarkan masuk tanpa melalui proses pemeriksaan sah.

Itu antara modus operandi sindiket penyeludupan warga asing yang dipercayai merekrut pegawai JIM sebagai tali barut.

Menurut sumber, langkah pertama, ejen akan memaklumkan kepada pegawai berkenaan mengenai tarikh cadangan kemasukan kumpulan warga asing.

"Kemudian ejen perlu menunggu pengesahan atau lampu hijau daripada pegawai berkenaan.

"Pada hari penerbangan, ejen akan memberi gambar terkini kumpulan warga asing berserta dengan nombor pasportnya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah sumber, setelah butiran-butiran itu diperoleh, pegawai terbabit akan memaklumkan kepada ejen nombor kaunter yang perlu ditujui oleh kumpulan warga asing itu.

Menurut sumber lagi, kumpulan yang tiba itu kemudian akan melalui kaunter yang diberitahu pegawai berkenaan sementara ejen menunggu di balai ketibaan.

"Sementara itu, wakil ejen turut akan menguruskan pengangkutan kumpulan warga asing ini mengikut lokasi dan tujuan masing-masing," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas sumber, setelah setiap proses ini selesai, ejen dikatakan akan membayar wang rasuah kepada pegawai terbabit.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan-tangkapan selanjutnya.

"SPRM sedang mengesan pegawai-pegawai penguat kuasa lain yang terlibat dan dijangka ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Namun, warga-warga asing yang mendapat layanan melalui modus operandi ini telah pun lesap dan sukar untuk dikeşan," katanya.

Sebelum ini, SPRM menahan 12 individu termasuk lima penguat kuasa hasil operasi di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan, Selasa lalu.

Tangkapan berusia lingkungan 20 hingga 50-an termasuk tiga wanita itu hasil risikan SPRM sejak 2022 dan dikesan terdapat kemasukan wang lebih RM4 juta bagi urusan kemasukan warga asing.

Laporan khas Sinar Harian pada Jumaat berkait isu penyeludupan masuk warga asing melalui lapangan terbang.
Laporan khas Sinar Harian pada Jumaat berkait isu penyeludupan masuk warga asing melalui lapangan terbang.

Laporan khas Sinar Harian Pada Khamis, melaporkan pegawai yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2) dipercayai menerima habuan RM500 hingga RM2,500 daripada sindiket untuk melepasi pemeriksaan melalui 'kaunter khas'.

Bayaran rasuah yang dibayar itu adalah berbeza mengikut kewarganegaraan.

Bayaran rasuah paling rendah sekitar RM500 bagi warga Uzbekistan dan paling tinggi RM2,500 bagi warga Bangladesh.

Bagi mengelakkan komunikasi mereka dikesan, penguat kuasa dan sindiket berkenaan turut menggunakan beberapa kod nama khas seperti School boy, Salak, Limau, Laici, Karpet, Kicap, Roti canai, Junta dan Ayam.

Ini merujuk kepada kewarganegaraan kumpulan warga asing yang akan masuk ke negara ini bagi urusan di laluan kaunter khas yang telah diatur.

Selain itu, sindiket turut menggunakan kod sulit iaitu 'lembu' yang merujuk kepada pembayaran wang rasuah manakala kod nama 'durian' merujuk kepada upah.

INFO GRAFIK MODUS OPERANDI SINDIKET

1.Ejen memaklumkan pegawai imigresen tarikh cadangan kemasukan kumpulan warga asing

2.Tunggu lampu hijau daripada pegawai imigresen

3.Ejen beri gambar terkini kumpulan warga asing dan nombor pasport pada hari penerbangan

4.Pegawai imigresen memaklumkan nombor kaunter kepada ejen

5.Kumpulan warga asing melalui kaunter pegawai yang ditetapkan.

6.Wakil ejen tunggu kumpulan warga asing di balai ketibaan.

7.Wakil ejen menguruskan pengangkutan warga asing mengikut lokasi tujuan masing-masing

8.Ejen membayar wang rasuah kepada pegawai imigresen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!