Status representasi ketiga Rosmah diketahui 6 September

Rosmah
Rosmah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menetapkan keputusan representasi ketiga dikemukakan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada 6 September ini.

Semasa prosiding di hadapan Hakim, K Muniandy, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, status permohonan Rosmah, 73, kini berada di peringkat akhir.

“Ia berada di peringkat dokumen untuk dimuktamadkan sebelum pihak AGC (Jabatan Peguam Negara) meneruskan dengan perintah daripada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah berkata, pendakwaan dan pembelaan telah mencapai persetujuan berhubung representasi itu dan masih menunggu kertas kerja untuk dimuktamadkan.

Untuk rekod, ini merupakan representasi ketiga Rosmah selepas kali pertama dan kedua dibuat masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos tahun lepas, namun sehingga kini, kesemua permohonan terbabit belum diputuskan AGC.

Isteri bekas Perdana Menteri itu juga memfailkan permohonan untuk dibebaskan dan dilepaskan daripada semua 17 pertuduhan pada 4 Oktober 2020 lalu.

Dia berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Wanita ini didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!