KPM sedang kemas kini, susun semula silibus
PUTRAJAYA - Laporan terkini kemajuan intervensi kurikulum akan diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Menerusi kenyataan, KPM memaklumkan pihaknya prihatin terhadap kegusaran masyarakat mengenai isu kurikulum berat seperti yang dilaporkan di laman media sosial.
Katanya, pada Mac lalu kementerian telah mengumumkan inisiatif intervensi kurikulum yang merupakan salah satu daripada hala tuju Reformasi Pendidikan yang sedang berjalan.
"Ia bertujuan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikannya relevan dengan keperluan murid," ujar KPM dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelas kementerian itu, empat inisiatif intervensi kurikulum yang sedang dilaksanakan antaranya Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 yang melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahap I sedia ada.
Ia turut melibatkan pengesanan awal literasi dan numerasi bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.
Selain itu inisiatif berkenaan juga membabitkan Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa
bertujuan untuk memudahkan laporan tahap penguasaan murid.
"Pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran juga ditukar dalam bentuk peratus dan gred dan boleh diakses secara dalam talian," katanya.
Menurutnya, Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah rendah menerusi penganjuran webinar.
"Kefahaman dan kerjasama antara guru, ibu bapa dan masyarakat adalah diperlukan bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya," kata KPM.
Isu kurikulum berat sering dibangkitkan ibu bapa di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!