Siasatan kes bunuh Nuraina Humaira di peringkat akhir - Polis

Azizi. Gambar kecil: Nuraina Humaira
Azizi. Gambar kecil: Nuraina Humaira
A
A
A

LENGGONG - Siasatan kes pembunuhan kanak-kanak perempuan Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, 10, yang ditemui mati di kawasan berpaya dekat Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di Sungai Siput, Sabtu lalu sudah di peringkat akhir.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu dan akan dimajukan bagi tujuan pendakwaan.

"Bagi kes ini tangkapan terhadap suspek telah dilakukan dan kita telah memanggil saksi-saksi kejadian termasuklah kenalan dan penduduk kampung bagi membantu siasatan.

"Pandangan pakar juga sudah kita peroleh dan dengan perkembangan ini, siasatan kita telahpun mencapai peringkat akhir sebelum dibawa ke peringkat pertuduhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja meninjau kerja-kerja pembaikan kuarters di Balai Polis Lenggong di sini pada Jumaat.

Azizi (dua dari kanan) ketika meninjau kemudahan surau di kuarters Balai Polis Lenggong sempena lawatan kerjanya pada Jumaat.
Azizi (dua dari kanan) ketika meninjau kemudahan surau di kuarters Balai Polis Lenggong sempena lawatan kerjanya pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood; Ketua Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Superintenden Hisyamuddin Mohd Baharin dan Jurutera Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Perak, Suffian Buhari.

Azizi berkata, siasatan setakat ini hanya melibatkan seorang suspek iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun yang telah direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini telah menarik perhatian masyarakat umum dan saya memuji tindakan pantas dilakukan barisan Polis Perak kerana berjaya membuat tangkapan," katanya.

Mayat murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di kampung berkenaan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Siasatan polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berkenaan dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di kawasan mangsa ditemui.

Perkara itu hasil laporan bedah siasat yang menemui kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher mangsa.

Susulan kes itu, polis menahan reman seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga saudara terdekat mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!