[VIDEO] UMNO tidak pernah berhenti bela nasib Najib - Ahmad Zahid

A
A
A

KUALA LUMPUR - Perjuangan UMNO untuk membela nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah terhenti, meskipun berdepan cabaran tertentu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu juga tidak pernah berubah sejak dari dulu lagi.

“Seperti yang saya jelaskan semasa taklimat presiden sebelum ini, perjuangan kita untuk membela Datuk Seri Najib tidak pernah terhenti. Jika ada yang masih bertanyakan komitmen, pendirian parti tetap teguh.

“Walau ada yang mempertikaikan ikrar afidavit berhubung Titah Adendum, yang diikrarkan oleh saya dan (Naib Presiden UMNO), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai pelaksanaan baki hukuman Datuk Seri Najib menerusi tahanan rumah, ia adalah bukti komitmen kita tidak pernah goyah.

“Insya-ALLAH kita tidak akan berhenti selagi nasib Bossku (Najib) tidak mendapat pembelaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Perwakilan Pahang pada Khamis dilapor meminta kepimpinan tertinggi UMNO memberi penjelasan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum agar Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Perkara itu disuarakan Setiausaha Pemuda UMNO Pahang, Mohd Azly Norzan ketika membahaskan ucapan dasar pemuda susulan perkara tersebut masih tergantung dan mencetuskan persoalan sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Susulan itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.

Titah Adendum berkenaan merujuk supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!