Bot kargo Indonesia ditahan bawa 420 guni bijih timah

Maritim Malaysia menahan empat individu termasuk nakhoda kapal warga Indonesia. Foto Maritim Pahang
Maritim Malaysia menahan empat individu termasuk nakhoda kapal warga Indonesia. Foto Maritim Pahang
A
A
A

KUANTAN - Sebuah bot kargo sarat dengan muatan 420 guni serbuk bijih timah dianggarkan bernilai RM1.5 juta dipercayai cuba diseludup ke negara ini dari Indonesia ditahan Rabu lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot kargo terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan menuju ke Sungai Endau oleh bot ronda Maritim Malaysia dan ditahan dalam satu operasi khas Maritim Malaysia Pahang serta Zon Maritim Mersing.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot kargo Indonesia dikendalikan oleh seorang nakhoda kapal bersama tiga kru yang semuanya adalah warga Indonesia.

"Kesemua mereka berusia antara 34 hingga 40 tahun ditahan bersama timbunan bungkusan guni berisi pasir hitam yang disyaki tin ore (bijih timah).

"Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa muatan kargo atau barang berduti dan merapat di jeti pendaratan ikan persendirian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda bot itu juga tidak memaklumkan ketibaan kepada pihak berkuasa dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot kargo dari Indonesia yang ditahan membawa 420 guni timah dipercayai cuba diseludup ke negara ini. Foto Maritim Pahang
Bot kargo dari Indonesia yang ditahan membawa 420 guni timah dipercayai cuba diseludup ke negara ini. Foto Maritim Pahang

Jelasnya, susulan itu, pergerakan dan aktiviti bot kargo berkenaan dipantau dan ditahan di jeti pendaratan ikan persendirian Tanjung Gemok, Kuala Rompin kira-kira 11.30 malam.

Artikel Berkaitan:

Mazlan menambah, kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63 Kapal kargo.

"Nakhoda dan semua kru bersama hasil rampasan ditahan seterusnya dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, Mazlan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Tugasnya, pihaknya akan terus membuat rondaan dan pemantauan terutamanya di perairan Pahang khasnya.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!