Bersatu bertanggungjawab ancam kedudukan Melayu - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa menjadi antara pihak yang bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu di negara ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana usaha menerima pakai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pernah dibawa oleh salah seorang pemimpinnya yang menjadi menteri ketika itu.
“Bersatu pernah berada dalam kerajaan. Jangan kita lupa, merekalah antara orang yang bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu. Malah Perdana Menterinya juga dari Bersatu.
“Kita tidak akan lupa walaupun dia kata Melayu mudah lupa. Jika bukan kita sebagai pemelihara induk Melayu bangkit menentang, nescaya konvensyen tersebut telah ditandatangani,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut menegaskan UMNO bukan seperti parti pembangkang yang disifatkan sebagai kura-kura yang menyorokkan kepala dan sanggup menjual prinsip ketika di tampuk kuasa.
Ujarnya, ia dibuktikan apabila naratif Melayu dan Islam terancam sering dimainkan.
“Mereka menanam kebencian, menyuntik kejelekan dan menebal kecurigaan. Kebenarannya, kita tidak pernah mengubah atau mencairkan matlamat penubuhan UMNO dek kerana kita menjadi sebahagian kerajaan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam masa sama turut menyindir Pas yang didakwa gagal melaksanakan agenda Islam seperti mana yang diperjuangkan sebelum menjadi kerajaan suatu ketika dahulu.
Ujarnya, parti yang sinonim dengan Islam itu dilihat hanya bertopengkan agama semata-mata.
“Ketika menjadi kerajaan, apa agenda Islam yang mereka bawa? Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) senyap sepi seribu bahasa.
“Hudud bukan lagi agenda utama. Negara Islam pula entah ke mana,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!