Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM
SHAH ALAM - Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kedua-dua mata pelajaran itu berbeza dengan yang lain kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini dan bukan seperti Sejarah dan Geografi.
“Ia (Sains dan Matematik) datang dari luar. Kebanyakannya datang ke negara ini melalui medium bahasa Inggeris dan atas sebab itu kita akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik.
“Itu bermaksud kita tidak akan mengelirukan rakyat kerana kita mendapati mereka yang belajar Sains dalam bahasa Melayu sukar untuk mendapatkan pekerjaan di tempat bahasa Inggeris digunakan,” katanya dalam satu mesyuarat tertutup di Putrajaya semalam.
Video mesyuarat bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan itu kemudian dimuat naik di laman sosial rasmi Perdana Menteri.
Dalam masa sama, Dr Mahathir yang juga Pemangku Menteri Pendidikan berkata, rakyat mahu melihat perubahan dalam polisi pendidikan negara dan beliau mempunyai beberapa idea untuk dilaksanakan demi pembangunan pendidikan negara.
Katanya, walaupun beliau sedar ada di antaranya tidak mudah dipersetujui ramai pihak, beliau merasakan beberapa perkara perlu dilaksanakan bagi memastikan generasi akan datang lebih berdikari.
"Saya merasakan perlu untuk melaksanakan beberapa perkara ini bagi memastikan anak-anak kita dapat membesar dan mampu menyelesaikan masalah yang akan dihadapi mereka sewaktu dewasa kelak. Itulah tujuan sebenar pendidikan.
"Seperti yang anda tahu, rakyat negara kita adalah berbilang kaum. Ia mungkin menjadi masalah kepada kita, tetapi juga ia adalah sesuatu yang boleh menyumbang ke arah pembangunan negara kita," katanya.
Ujarnya lagi, pembangunan negara ini adalah hasil toleransi dan kerjasama erat antara kaum di negara ini.
"Jika negara tidak stabil dan peperangan tercetus, anda boleh berhenti berbicara tentang soal pembangunan. Segala-galanya akan ditumpukan untuk berbunuh sesama sendiri dengan lebih efisien dan pembunuh itu yang akan jadi pemenang," katanya.
Dasar PPSMI dipersetujui Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 dan mula dilaksanakan secara berperingkat bermula sesi persekolahan 2003 dengan perintisnya ialah murid Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat sekolah menengah.
PPSMI dilaksanakan sepenuhnya pada 2007 untuk peringkat sekolah menengah manakala peringkat sekolah rendah pada 2008.
Bagaimanapun ia mula dimansuhkan secara berperingkat pada 2012 setelah mendapat kecaman parti politik, ibu bapa cendekiawan, gerakan pelajar dan mahasiswa, pakar bahasa dan sasterawan.
Namun, bahasa Inggeris masih terus menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan Tingkatan Enam.
Ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara, Dr Mahathir dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa dasar itu berkemungkinan besar akan dikembalikan demi kebaikan generasi baharu dan negara.
Pada April 2019, Sarawak mengambil keputusan untuk menjadi negeri pertama melaksanakan kembali dasar itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!