‘Kita tahu kadang-kadang mereka jauh hati, kecil hati’ - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di WTCKL pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di WTCKL pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO akan berunding dengan rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi menyusun gerak kerja dan berbincang perbezaan pendapat antara mereka sebaik sahaja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selesai.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyedari ada antara mereka yang berkecil hati dengan beberapa keputusan yang dibuat sebelum ini dan mengharapkan ia dapat diselesaikan dengan baik.

“Hari ini kita ajak rakan-rakan daripada MCA, MIC, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Friends of BN.

“Kita tahu kadang-kadang mereka kecil hati dan jauh hati. Mari kerja bersama-sama, buktikan di Mahkota. Insya-ALLAH, selepas di Mahkota, kita susun yang terbaik,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di WTCKL pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di WTCKL pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan komponen BN khususnya MCA, MIC dan PBRS yang kekal setia ketika menang dan kalah.

Malah katanya, jalinan antara mereka tidak pernah goyah walaupun ketika UMNO bangkit dan rebah.

“Yakinlah, UMNO tetap menjadi teman yang sejati. Biarlah hubungan ini menjadi manifestasi perkongsian kuasa yang akan sentiasa dicontohi.

Artikel Berkaitan:

“Selain perkongsian kuasa, Barisan Nasional adalah parti yang membawa suara sederhana yang menyatukan parti-parti politik berhaluan kanan dan kiri. Penyatuan inilah yang menjamin keindukan Islam dan Melayu terpelihara tanpa meminggirkan hak dan suara kaum-kaum lain.

"Inilah akar tunjang yang menjamin keamanan, kestabilan dan keharmonian hidup bernegara,” jelasnya.

Sebelum ini, wujud spekulasi mengenai MCA akan keluar daripada BN, namun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendakwa kenyataan itu dicipta oleh segelintir individu atau golongan tertentu.

Malah katanya, dakwaan tersebut juga telah dinafikan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!