Polis Perak terima peruntukan RM40 juta baiki bangunan, fasiliti

Azizi ketika meninjau keadaan kuarters Balai Polis Lenggong yang telah melalui kerja pembaikan.
Azizi ketika meninjau keadaan kuarters Balai Polis Lenggong yang telah melalui kerja pembaikan.
A
A
A

LENGGONG - Polis Perak menerima peruntukan lebih RM40 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan bangunan, fasiliti dan perolehan aset polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, daripada jumlah itu, RM25.26 juta digunakan bagi pembaikan dan penyelenggaraan 844 unit kuaters di 90 lokasi melibatkan sistem bekalan air, elektrik, pembentungan dan jalan.

Menurutnya, sebanyak RM4.23 juta pula digunakan bagi pembaikan empat unit lif di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput dan penggantian tujuh lif di Pejabat Kontinjen Perak serta IPD Taiping.

"Peruntukan berjumlah RM29.49 juta ini diluluskan di bawah perbelanjaan pembangunan Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"Kerja-kerja ini dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana, 18 lokasi telah disiapkan, 51 dalam pelaksanaan dan 23 lagi di peringkat perolehan.

"Saya berpuas hati dengan pelaksanaan kerja, semua dilaksanakan mengikut jadual. Setakat ini tiada projek yang diklasifikaiskan sebagai projek sakit," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja meninjau kerja-kerja pembaikan kuarters di Balai Polis Lenggong di sini pada Jumaat.

Kerja pembaikan kuarters Balai Polis Lenggong menjadikan unit itu dilengkapi tiga bilik tidur dengan kapasiti ruang tamu, dapur dan balkoni yang lebih besar.
Kerja pembaikan kuarters Balai Polis Lenggong menjadikan unit itu dilengkapi tiga bilik tidur dengan kapasiti ruang tamu, dapur dan balkoni yang lebih besar.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood; Ketua Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Superintenden Hisyamuddin Mohd Baharin dan Jurutera Jalan JKR Daerah Hulu Perak, Suffian Buhari.

Artikel Berkaitan:

Azizi berkata, baki RM10.72 juta lagi diluluskan bagi kerja-kerja pembaikan bangunan polis di 61 lokasi termasuklah Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak yang terbakar serta pagar dan pos pengawal IPD Tapah yang roboh dirempuh lori, Jun tahun lalu.

Katanya, menerusi peruntukan sama, kerja pembaikan unit kuarters yang rosak dan tidak dapat diduduki telah dilakukan di IPD Pengkalan Hulu, Balai Polis Tanjung Malim dan Balai Polis Lenggong.

"Pembaikan ini mengambil kira keselesaan penghuninya.

"Kalau kuarters asal hanya dua bilik, hari ini selepas penambahbaikan dilakukan, setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur dengan kapasiti ruang tamu, dapur dan balkoni yang lebih besar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!