Ahmad Zahid tidak rela UMNO jadi bahan dagangan politik
KUALA LUMPUR - “Saya tidak akan menjadi pengkhianat atau merelakan mana-mana pihak memperlakukan parti keramat ini sebagai bahan dagangan politik mereka.”
Demikian ikrar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hadapan kira-kira 2,000 perwakilan semasa ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.
Menurut Ahmad Zahid, pengalaman selama 22 bulan menjadi pembangkang sudah cukup ‘mengajar’ parti tersebut.
Dalam tempoh itu katanya, keadaan begitu getir dengan cabaran dan penghinaan namun UMNO menyusun strategi dan perancangan sehingga ke hari ini.
“Apakah tujuannya? Tujuannya adalah supaya kita tidak karam dalam gelombang perubahan politik yang berlaku di negara ini. Ini tekad saya.
“Disebabkan itu, yakinlah apa pun keputusan yang diambil, kita tak akan sesekali menggadai maruah dan masa depan parti,” katanya.
Ahmad Zahid juga berterima kasih kepada pemimpin parti khususnya dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang tetap bersamanya dengan timbalan presiden dan naib presiden dalam menghadapi saat-saat sukar.
“Dengan syarat, mereka mesti turun ke bawah menyantuni tuan puan (anggota bawah).
“Saya yakin mereka akan turun (berjumpa akar umbi). Jangan turun ke bawah bila nak cari undi (pemilihan jawatan) sahaja, tapi saya yakin semua boleh buat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!