AKKP bukan untuk menghukum majikan - Steven Sim

Steven (tiga dari kanan) melihat Pensijilan ISO yang diterima syarikat pada Program Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Majlis Penyerahan Pensijilan ISO, pada Jumaat.
Steven (tiga dari kanan) melihat Pensijilan ISO yang diterima syarikat pada Program Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Majlis Penyerahan Pensijilan ISO, pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu lebih bersifat mendidik dan bukan untuk menghukum semata-mata.

Menurutnya, akta berkenaan berperanan untuk memastikan tahap keselamatan sekali gus mengelakkan sebarang risiko kemalangan di tempat kerja di seluruh negara.

"Kita nak pastikan syarikat dan tempat-tempat kerja disahkan selamat kerana ada juga majikan yang khuatir dengan pelaksanaan akta ini yang dikatakan membebankan memandangkan terdapat peningkatan penalti daripada RM50,000 kepada RM500,000.

"Saya nak tegaskan sekali lagi bahawa fokus kita bukan untuk menghukum dan mendenda sebaliknya fokus kita untuk memastikan keselamatan di tempat kerja terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Majlis Penyerahan Pensijilan ISO, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, perkhidmatan Analisis Penambahbaikan Tempat Kerja (WINA) ini merupakan langkah pertama yang boleh diambil majikan untuk mematuhi perundangan berkaitan akta terbabit.

Katanya, ia meliputi khidmat nasihat percuma kepada majikan selain penilaian sama ada tempat kerja sedia ada mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kalau ada kelompongan, kita akan beri nasihat dan cadangan yang bersesuaian.

“Saya juga ingin minta para majikan yang mempunyai sebarang isu mahupun kemusykilan berkaitan pindaan terbaharu ini boleh datang untuk berbincang dengan kita atau NIOSH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022 diluluskan oleh Parlimen pada 16 Mac 2022.

Penguatkuasaan akta berkenaan mewajibkan majikan menganalisis risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!