PAU2024: MIC yakin UMNO menang majoriti besar di DUN Mahkota

Vigneswaran
Vigneswaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan majoriti yang besar, kata Presiden Kebangsaan Kongres India Malaysia (MIC), Tan Sri Vigneswaran Sanasee.

Beliau berkata, ia berikutan orang ramai mula sedar dan percaya kepada Kerajaan Perpaduan.

“Mahkota akan menang kerana orang sudah mula sedar dengan kepimpinan kerajaan sekarang.

“Kami jangkakan kemenangan dengan majoriti yang besar,” katanya selepas ucapan dasar daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024) pada Jumaat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Vigneswaran memaklumkan ucapan dasar tersebut boleh memantapkan lagi dasar dari peringkat akar umbi parti tersebut.

Menurutnya, ia mampu memperkukuhkan parti UMNO supaya diterima oleh rakyat khususnya kaum Melayu.

Selain itu, ditanya mengenai persiapan MIC untuk persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), beliau berkata, ia belum dilakukan kerana masih mempunyai banyak masa.

“Masih ada masa, parti sedang bekerja untuk menguatkan kedudukan dan sebagainya. Sekiranya sudah tahu, kami pasti akan maklumkan,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!