Tanah jerlus: Mangsa berjalan kaki sebelum 'ghaib'

Tangkap layar video kejadian wanita hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tangkap layar video kejadian wanita hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga India yang masih hilang selepas terjatuh dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat dipercayai berjalan kaki dari Selangor Mansion di sini.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati wanita berkenaan sedang berjalan sebelum terjerlus berhampiran sebuah kerusi konkrit. Turut kelihatan seorang lelaki hampir terjerlus, namun sempat menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, Pondok Polis Masjid India menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 8.30 pagi.

Sulizmie Affendy
Sulizmie Affendy

"Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.

"Kita juga akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini saya tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan," katanya di lokasi kejadian, di sini, pada Jumaat.

Sulizmie berkata, seramai 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (lima) dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (empat) turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.

Artikel Berkaitan:

"Pihak DBKL, anggota Bomba sedang giat melaksanakan kerja penyelamatan di lokasi kejadian," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat seorang wanita warga asing disyaki terjatuh dan tertimbus akibat tanah jerlus di hadapan Masjid India, di Kuala lumpur pada Jumaat.
Operasi mencari dan menyelamat seorang wanita warga asing disyaki terjatuh dan tertimbus akibat tanah jerlus di hadapan Masjid India, di Kuala lumpur pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Sulizmie memaklumkan keadaan sekitar lokasi kejadian masih selamat, namun perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan sama ada kawasan tersebut ditutup atau sebaliknya.

"Kita belum buat keputusan untuk menutup kawasan ini sepenuhnya, kita rasakan ia masih selamat.

"Kita akan buat beberapa analisa nanti dan jika dirasakan perlu ditutup akan memaklumkan kelak," katanya.

Jengkaut turut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.
Jengkaut turut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, pihaknya menggunakan bantuan mesin serta jengkaut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi tersebut.

"Mesin dan jentera itu digunakan setelah pencarian secara manual gagal menemui mangsa.

"Jengkaut itu digunakan untuk mengorek tanah dengan lebih luas di lokasi tanah jerlus," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!