Tangkapan ikan berkurangan di Kedah

Dzowahir (enam dari kanan) dan Pang (lima dari kiri) bersama warga kerja Jabatan Perikanan Negeri Kedah yang terlibat dalam program melabuhkan tukun di perairan Pulau Payar.
Dzowahir (enam dari kanan) dan Pang (lima dari kiri) bersama warga kerja Jabatan Perikanan Negeri Kedah yang terlibat dalam program melabuhkan tukun di perairan Pulau Payar.
A
A
A

ALOR SETAR - Pendaratan ikan di Kedah mengalami kemerosotan akibat cuaca panas melampau terutama dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, kekurangan tangkapan ikan dianggarkan sekitar 23 peratus, namun bekalan untuk pengguna adalah mencukupi.

Menurutnya, bagi menampung permintaan orang ramai, ikan segar beku atau Qfish ditawarkan sepanjang bekalan berkurangan.

“Perubahan cuaca antara penyumbang kepada kemerosotan ini. Musim panas yang lebih panjang dan lebih kering menjejaskan trend cuaca di negeri ini, termasuk angin dan arus laut.

Sebanyak 14 unit tukun konservasi dasar lembut dilabuhkan di perairan Pulau Payar.
Sebanyak 14 unit tukun konservasi dasar lembut dilabuhkan di perairan Pulau Payar.

“Ini menyebabkan ikan sukar ditemui di kawasan tangkapan biasa kerana berpindah ke perairan lebih dalam dan sejuk untuk mencari makanan selain mahukan kehidupan lebih baik,” katanya di sini pada Jumaat.

Dzowahir berkata, berdasarkan data pendaratan ikan oleh Jabatan Perikanan Negeri Kedah, sebanyak 48,066.60 metrik tan diperoleh pada Januari hingga April tahun lepas, berbanding 36,868.12 metrik tan dalam tempoh sama tahun ini.

“Ia menunjukkan penurunan sebanyak 23.30 peratus. Keadaan akan pulih secara berperingkat mengikut perubahan cuaca yang kini semakin lembab,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penduduk tidak perlu bimbang terputus bekalan kerana Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa memastikan bekalan ikan mencukupi selain menawarkan stok bekalan Qfish.

Dzowahir (lima dari kanan) turut serta menyaksikan tukun tiruan dilabuhkan di kawasan lebih kurang lima batu nautika dari Pulau Payar.
Dzowahir (lima dari kanan) turut serta menyaksikan tukun tiruan dilabuhkan di kawasan lebih kurang lima batu nautika dari Pulau Payar.

“Tidak dinafikan apabila berlaku pengurangan bekalan, harga ikan akan meningkat namun LKIM menyediakan alternatif bekalan ikan murah dengan adanya Qfish yang dijual serendah RM10 sekilogram,” jelasnya.

Dzowahir berkata, untuk langkah jangka panjang, pelbagai usaha bagi mewujudkan ekosistem pembiakan ikan dilakukan antaranya dengan melabuhkan tukun tiruan di perairan negeri.

“Dengan melabuhkan tukun tiruan, ia memberi limpahan sumber perikanan di kawasan terlibat serta manfaat kepada 7,609 nelayan. Akan berlaku peningkatan hasil tangkapan kesan daripada limpahan sumber perikanan yang dihasilkan daripada tukun-tukun tersebut,” katanya.

Menurutnya, melabuh tukun tiruan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan sumber perikanan sentiasa mampan selain menjamin sekuriti makanan negara.

“Diharapkan tukun yang dilabuhkan ini memberi manfaat kepada sumber perikanan negeri selain meningkatkan pendapatan sosioekonomi nelayan,” ujarnya.

Sementara Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Pang anak Nyukang memaklumkan, sebanyak 14 unit tukun konservasi dasar lembut dilabuhkan di perairan Pulau Payar, melibatkan kos RM394,667.

“Ia dilabuhkan pada kedalaman 10 hingga 20 meter dengan anggaran seunit tukun menyumbangkan populasi 6,000 kilogram ikan bernilai RM80,000 dari beberapa spesies ikan.

“Ikan kerapu, merah, jenahak, kaci, tebal bibir, delah, dengkis, tetanda, yu dan pari antara ikan komersial yang sering ditemui di kawasan tukun tiruan,” katanya.

Menurutnya, pertambahan tukun berkenaan menjadikan keseluruhan tukun yang dilabuhkan dalam perairan negeri ini sebanyak 567 unit dengan kos RM10,139,597.

“Pembangunan tukun tiruan berkesan bagi pemuliharaan stok dan sumber perikanan negara dan memberi impak positif kepada industri perikanan.

“Keberkesanan tukun tiruan bergantung kepada pemeliharaan dan penjagaannya daripada penggunaan sumber berlebihan.

“Struktur tukun tiruan akan ’matang’ ditumbuhi hidupan marin lain bagi membentuk habitat yang mampu menarik lebih banyak ikan mendiaminya,” katanya.

Pang berkata, pembinaan tukun dasar lembut tersebut akan mewujudkan ekosistem yang berfungsi sebagai kawasan perlindungan, pemuliharaan dan pembiakan ikan serta hidupan marin.

“Tukun juga boleh memulih dan melindungi habitat serta memelihara biodiversiti marin yang musnah akibat aktiviti perikanan berlebihan atau bencana alam.

“Ia turut bertindak sebagai penghalang kepada aktiviti pencerobohan pukat tunda yang dilarang di pesisir pantai selain mewujudkan kawasan agropelancongan serta aktiviti skuba,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!