Cadangan gabung tiga bank ancam peniaga, ekonomi bumiputera

Penggabungan tiga bank tersebut dijangka membawa kesan negatif ketara kepada 25,000 peniaga - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Azman Yusoff
Penggabungan tiga bank tersebut dijangka membawa kesan negatif ketara kepada 25,000 peniaga - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Azman Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM- Cadangan untuk menggabungkan tiga bank iaitu SME Bank, Bank Pembangunan dan EXIM Bank tidak perlu diteruskan kerana ia mampu mengancam kelangsungan perniagaan serta ekonomi bumiputera khususnya pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (Pengilang), Datuk Azman Yusoff berkata, penggabungan tersebut dijangka membawa kesan negatif ketara kepada 25,000 peniaga.

Menurutnya, walaupun setiap bank yang terlibat mempunyai fokus dan kumpulan sasaran yang berbeza, namun sebarang penggabungan mungkin mengganggu kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan.

“Penggabungan ini dijangka akan membawa kesan negatif yang ketara kepada pengusaha PMKS bumiputera yang telah mendapat manfaat daripada SME Bank selama ini.

“Industri pengilang mendapat banyak manfaat daripada kerajaan melalui SME Bank berbanding bank komersial.

“Terdapat pelbagai pakej dan program pembiayaan yang disediakan, terutama untuk usahawan dan pengilang yang baharu memulakan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2023 mengumumkan, institusi kewangan pembangunan (DFI) juga akan distruktur semula melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Bhd, SME Bank dan Exim Bank.

Mengulas lanjut, menurut Azman, penggabungan tersebut boleh membawa kepada pengurangan kakitangan syarikat yang majoriti daripada mereka ialah masyarakat Melayu dan bumiputera selain berpotensi mengancam status SME Bank sebagai institusi kewangan patuh syariah.

Tambah beliau, langkah tersebut dikhuatiri akan merugikan sektor perbankan Islam di negara ini selain mengurangkan akses kepada pembiayaan syariah yang kompetitif untuk PMKS.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pendekatan yang lebih berhati-hati dan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan ekonomi bumiputera.

“Kami merayu kepada pihak kerajaan supaya mengkaji semula cadangan ini dengan lebih mendalam dan mempertimbangkan pilihan lain yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak, terutama PMKS bumiputera,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!