Pesawah mohon harga lantai belian padi dinaikkan RM1,800 per tan
KUBANG PASU - Pesawah memohon kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800 bagi membantu golongan tersebut mengimbangi peningkatan kos tanaman padi.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, kenaikan kos bagi mengerjakan sawah sejak akhir-akhir ini memberikan tekanan kepada mereka bermula daripada benih sehingga ke peringkat menghasilkan beras.
Menurutnya, sudah tiba masanya untuk harga lantai belian padi itu dinaikkan dan satu ketetapan perlu dilakukan oleh kerajaan dalam menjaga kebajikan pesawah di negara ini.
“Kita perlukan ketetapan daripada kerajaan kerana mahukan konsistensi dalam harga tersebut. Tahun lalu pun, pengilang pada awalnya membeli padi dari petani pada harga RM1,800 tetapi apabila musim menuai tiba pada waktu puncak, harganya turun mendadak kepada cuma RM1,300 per tan metrik.
"Jika itu yang berlaku, maka petani akan terus-terusan mengalami kerugian kerana kos menghasilkan padi ketika ini sangat tinggi. Selama ini kita sudah ditekan dengan isu-isu yang tidak selesai,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas berhimpun bersama pesawah lain di Kampung Pida Lima, dekat sini.
Jelas Abdul Rashid, para pesawah juga masih menanti bayaran bantuan tunai RM210 per hektar, per musim menerusi kenaikan kadar insentif pembajakan serta pengenalan insentif penuaian seperti diumumkan pada Jun lalu.
Menurutnya, terdapat ura-ura bantuan tersebut akan diterima petani pada Julai atau Ogos, namun sehingga kini mereka masih belum mendapat maklumat berkenaan pembayaran tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E2, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kubang Sepat, Abdul Halim Salleh berkata, bagi pesawah yang mengusahakan bendang sewa berkemungkinan tidak memperoleh keuntungan pada musim menuai kali ini jika harga belian lantai masih RM1,300 per tan.
Menurutnya, ancaman lain seperti serangan serangga ulat putih dan padi angin juga boleh menyebabkan pesawah menanggung kerugian pada musim menuai.
"Setakat ini kilang-kilang masih membeli padi pada harga RM1,800 per tan tetapi tidak mustahil harga itu akan turun di pertengahan musim.
"Mohon jasa baik pihak kerajaan untuk mempertimbangkan agar dapat menyara kehidupan keluarga kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!