SPRM reman kakitangan PBT, terima suapan RM2,000

Seorang kakitangan PBT direman empat hari di Mahkamah Majistret Ipoh bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM2,000.
Seorang kakitangan PBT direman empat hari di Mahkamah Majistret Ipoh bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM2,000.
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kerana disyaki menerima suapan RM2,000 daripada pemilik perniagaan.

Suapan tersebut dipercayai sebagai balasan agar suspek tidak mengambil tindakan terhadap seorang pemilik premis perniagaan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Suspek yang juga Penolong Pegawai Perancang Bandar itu ditahan pada jam 5.45 petang pada Khamis ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak di Bandar Meru Raya di sini.

Susulan penahanan itu, lelaki berusia 51 tahun terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk kebenaran reman bagi siasatan lanjut.

Perintah reman selama empat hari sehingga Isnin depan terhadap lelaki itu dikeluarkan Majistret S Punitha.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!