‘Kenyataan Muhyiddin tidak boleh disanggah’ - Hamzah
SHAH ALAM - Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung 115 akuan bersumpah (SD) adalah fakta yang yang tidak boleh disanggah.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua pemimpin dalam kalangan PN tahu mengenai hal berkenaan, namun tiada dalam mana-mana mesyuarat pakatan itu cuba untuk menghasut rakyat.
“Itu adalah fakta serta kebenaran yang tidak boleh disanggah dan Tan Sri Muhyiddin menyatakan fakta.
“Memang benar PN dan rakan-rakan ahli Parlimen parti lain seramai 114 ahli pada 21 November 2022 menyokong Tan Sri Muhyiddin untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Kemudian ditambah dengan seorang lagi menjadikan 115 sokongan semuanya,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, tular satu rakaman memaparkan bekas Perdana Menteri itu seolah-olah secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi YDPA ke-16.
Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin kerana memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Ekoran itu, Istana Pahang membuat satu laporan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri.
Pada 21 Ogos lalu, pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman merakam keterangan Muhyiddin berhubung rakaman tular itu.
Rakaman percakapan itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan isu 3R (agama, bangsa dan institusi raja) membabitkan ucapan Muhyiddin semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, parti akan bersama Muhyiddin memperjuangkan idealisme perjuangan demi masa hadapan negara yang lebih baik.
“Kami berdiri teguh bersama Presiden (Muhyiddin) dalam prinsip mempertahankan institusi raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“ALLAH SWT akan melindungi mereka yang bercakap benar dan bersabar menghadapi dugaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!