PM tidak campur urusan siasatan Muhyiddin

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada campur tangan beliau dalam siasatan yang dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya kata Anwar, perkara tersebut diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan dilaksana mengikut proses undang-undang sedia ada.

"Setakat ini kita ikut jalur (dan) serah kepada siasatan serta Peguam Negara.

"Saya tidak campur urusan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Bersama Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan peluncuran portal Ihsan Madani di sini pada Jumaat.

Anwar berkata demikian mengulas kebimbangan pelbagai pihak terhadap tindakan pihak berkuasa yang menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk menyiasat bekas Perdana Menteri itu berhubung ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 30 laporan berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan ke atas Pengerusi PN itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Semasa memberi keterangan, Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen kepada polis antaranya surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, yang mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong ke-16 meminta ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!