PDRM jangan sekat media buat liputan - PM
PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan untuk tidak menyekat mana-mana organisasi media dalam membuat liputan mengenai agensi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menghubungi PDRM berkaitan hal tersebut.
"Soal media saya akan hubungi PDRM dengan segera supaya jangan ada mana-mana sekatan sebagaimana berlaku kepada Malaysiakini semalam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Bersama Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan peluncuran portal Ihsan Madani di sini pada Jumaat.
Terdahulu, portal berita yang enggan mendedahkan sumber laporan mengenai pertukaran pegawai kanan PDRM itu dilarang membuat liputan di sebuah acara polis di Kuala Lumpur pada Khamis.
Acara PDRM Special Dialogue II bermula dengan perbincangan tertutup antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan pemegang taruh, antaranya agensi penguatkuasaan undang-undang lain bawah Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Kewangan.
Media sepatutnya dibenarkan membuat liputan pelancaran acara yang dijadual pada 12.30 tengah hari.
Namun, sekitar jam 11 pagi seorang pegawai media Bukit Aman memberitahu wartawan Malaysiakini mereka tidak dibenarkan masuk ke acara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!