[VIDEO] Kes tanah mendap pernah berlaku berhampiran lokasi kejadian - Polis

A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu kejadian tanah mendap pernah dilaporkan berlaku berhampiran lokasi di mana seorang wanita warga asing terjatuh dalam lubang tanah jerlus di Jalan Masjid India dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, berdasarkan maklumat pihak bomba, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada tahun lalu, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

"Saya difahamkan tempat ini dulu pernah mendap sekali, betul-betul berdekatan dengan tempat kejadian hari ini (Jumaat), namun ia telah dibaiki.

"Kejadian hari ini, kita ada rakaman CCTV (kamera litar tertutup) jelas menunjukkan bagaimana mangsa terjatuh ke dalam lubang jerlus dan hanya membabitkan seorang mangsa," katanya dalam sidang akhbar di lokasi di sini, pada Jumaat.

Rusdi berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di lokasi masih diteruskan termasuk memperluaskan dimensi pencarian kerana ada kemungkinan mangsa dihanyutkan arus deras dalam longkang bawah tanah yang ada di tempat kejadian.

Rusdi ketika ditemui di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat
Rusdi ketika ditemui di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat

"Saksi yang melihat kejadian itu mengatakan mangsa berjalan seperti biasa sebelum terjatuh, namun selepas itu, mangsa terus tidak kelihatan.

"Di bawah ini, ada aliran air deras sampai ke hujung dan pemeriksaan dibuat di sana, tapi setakat ini belum ditemui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pencarian dibuat secara berperingkat termasuk mengadakan perbincangan dengan Indah Water Konsortium (IWK) mengenai pelan aliran air dan sistem pembetungan.

"Kita tidak boleh buat sesuka hati. Tidak boleh tutup aliran air kerana boleh sebabkan banjir di lokasi lain, maka operasi ini perlu dijalankan secara berperingkat dan berhati-hati dengan nasihat pihak bomba, termasuk meneliti ancaman gas bawah tanah.

"Kita memerlukan nasihat dan kepakaran pelbagai pihak bagi memastikan operasi SAR ini berjaya dan berjalan dengan baik serta selamat. Kita berharap mangsa segera ditemui," katanya.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, semakan mendapati mangsa berasal dari India, melancong ke negara ini bersama beberapa ahli keluarganya sejak dua bulan lalu.

"Difahamkan mangsa dan keluarganya akan pulang ke India, esok (Sabtu) namun apabila kejadian ini berlaku, mereka tidak boleh pulang.

"Buat masa ini, kita tugaskan seorang pegawai polis berbangsa India untuk berkomunikasi dengan mereka, memaklumkan segala perkembangan terkini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu mereka berhubung dengan pihak kedutaan India bagi urusan penyambungan visa lawatan.

"Ia kerana keluarga wanita itu perlu terus berada di sini sehingga mangsa ditemui dan siasatan selesai," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga India berusia 48 tahun terjatuh ke dalam kejadian lubang tanah jerlus berhampiran Masjid India, di sini pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan hari ini berkata kedalaman tanah jerlus itu dianggarkan lapan meter.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.22 pagi.

Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan dibantu pasukan BBP Hang Tuah ke lokasi kejadian untuk operasi SAR.

Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Pengesan (K9) turut dikerah ke lokasi kejadian.

Setakat jam 5.30 petang tadi, mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan walaupun dalam keadaan cuaca hujan di lokasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!