Cuba seludup plastik sekerap bernilai RM91,000

Anis Rizana menunjukkan plastik sekerap yang dirampas pihaknya di Pelabuhan Klang, 2 Ogos lalu.
Anis Rizana menunjukkan plastik sekerap yang dirampas pihaknya di Pelabuhan Klang, 2 Ogos lalu.
A
A
A

KLANG - Cubaan seludup plastik sekerap seberat 35,137 kilogram bernilai RM91,000 melalui Pelabuhan Klang, di sini, digagalkan pihak berkuasa, pada 2 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) bertindak menyita dua kontena berisi plastik sekerap terbabit.

"Siasatan mendapati kontena itu tiba di Pelabuhan Klang pada 23 Julai dari benua Amerika.

"Modus operandi kegiatan bersindiket ini adalah dengan membuat pengikraran palsu bagi mengaburi pihak JKDM," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor di Pulau Indah di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti dalang pengimportan sisa plastik ini bagi tindakan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

JKDM merampas 35,127 kg plastik sekerap dalam operasi di Pelabuhan Klang, 2 Ogos lalu.
JKDM merampas 35,127 kg plastik sekerap dalam operasi di Pelabuhan Klang, 2 Ogos lalu.

Tambah Anis Rizana, sindiket dipercayai akan memproses sisa terbabit sebagai bahan kitar semula yang akan dijadikan sebagai bahan plastik.

Katanya lagi, lebih 10 kes direkodkan tahun ini membabitkan kes penyeludupan plastik sekerap serta sampah elektronik (e-waste) bagi Kastam Zon Tengah.

Artikel Berkaitan:

"Pengimportan plastik sekerap tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal sebagaimana telah digariskan di dalam Butiran 12 Bahagian 1, Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya.

Dalam pada itu, Anis Rizana menegaskan pihaknya akan sedia upaya berusaha memastikan negara bebas daripada tempat pembuangan sisa buangan plastik dan elektronik.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua agensi termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi kerjasama bagi memastikan kawalan sempadan terpelihara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!