Lelaki ugut, pecah cermin kenderaan ditahan

Polis menangkap suspek seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun di kawasan Kajang, Selangor berhubung kes ugutan jenayah dan memecahkan cermin kenderaan. Foto PDRM
Polis menangkap suspek seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun di kawasan Kajang, Selangor berhubung kes ugutan jenayah dan memecahkan cermin kenderaan. Foto PDRM
A
A
A

KAJANG - Polis mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang penghantar barang yang mendakwa dimaki hamun, diugut dan cermin kenderaan dipandunya dipecahkan seorang lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun jam 2.30 petang pada Khamis.

Beliau berkata, berrtindak atas maklumat orang ramai serta tindakan pantas dilakukan, pihaknya berjaya menahan dan menangkap suspek seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun di kawasan Kajang pada hari sama kejadian berlaku.

Kata beliau, penahanan suspek membolehkan pihak polis merampas senjata yang digunakan semasa kejadian iaitu topi keledar.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau.

"Suspek direman selama empat hari sehingga Isnin bagi melengkapkan siasatan dan mendapatkan punca sebenar kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Naazron berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau saksi kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.

Katanya lagi, mereka juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Shafiq Zahari di talian 011-11244128.

"Polis menasihatkan masyarakat untuk sentiasa tenang dalam menyelesaikan apa jua permasalahan dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang negara," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!