Sze Fei-Nur Izzuddin wakil tunggal negara ke separuh akhir Terbuka Jepun
Ini selepas pasangan pilihan kelapan kejohanan itu menundukkan pilihan keempat dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-16, 10-21, 21-16 dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama 54 minit di Yokohama Arena.
Menanti Sze Fei-Nur Izzudin di pusingan seterusnya ialah sama ada pemain tuan rumah Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura atau pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana yang akan bertemu pada satu lagi aksi suku akhir hari ini.
Satu lagi beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dikecewakan pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 15-21, 9-21.
Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah juga gagal mengesahkan slot ke separuh akhir selepas ditewaskan gandingan China Sheng Shi Liu-Tan Ning 21-17, 14-21, 10-21.
Dua pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut gagal meneruskan momentum apabila tewas pada saingan suku akhir.
Tang Jie-Ee Wei ditewaskan pilihan kedua Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China 16-21, 18-21 manakala Kian Meng-Lai Pei Jing ditumbangkan gandingan Hong Kong Tang Chung Man-Tse Ying Suet 21-18, 23-25, 9-21.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!