Usaha banteras rasuah perlu tekad semua pihak - PM Anwar
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membanteras rasuah demi menyelamatkan negara dan mengangkat martabat bangsa memerlukan tekad semua pihak.
Beliau berkata, bagi kerajaan, pihaknya sudah memberi mesej jelas dan tegas bahawa tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam rasuah, penyeludupan dan kartel tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
"Saya, selagi diberi mandat dan amanah, tidak mahu tolak ansur (dalam isu rasuah) sama ada disenangi atau tidak... Kalau tidak, dah jadi sistemik, jangan harap orang datang melabur.
"Mana mungkin negara Malaysia yang hebat, satu dunia (tahu) umat Islam (adalah) majoriti, bagaimana kita boleh izinkan (rasuah) dengan bangsa yang berbudaya, hormat pada nilai dan akhlak," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini pada Jumaat.
Anwar menyeru semua pihak termasuk badan penguat kuasa agar tidak mengizinkan rasuah terus merebak dan berkata kerajaan sentiasa melaksanakan agenda reformasi bagi mengangkat martabat bangsa serta negara.
"Tanggungjawab saudara adalah memastikan kita betulkan. Saya mahu rekod yang lebih baik, pastikan kecelaruan dan pelanggaran ini dikurangkan sebanyak mungkin," katanya sambil menambah beliau mahu setiap ketua jabatan dan ketua unit tiap-tiap daerah memastikan laporan dibuat jika ada pelanggaran.
Perdana Menteri berkata, perkara itu adalah antara yang digariskan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan jika ketua jabatan tidak melaporkannya, maka beliau akan berdepan tindakan atau tidak dinaikkan pangkat.
Beliau berkata, pengiktirafan akan diberikan kepada kejayaan di setiap jabatan namun kelemahan harus dibetulkan dan tidak membiarkan kelompok kecil yang mengamalkan rasuah atau melaksanakan tugas bertentangan dengan prinsip, peraturan dan nilai keihsanan merosakkan imej keseluruhan jabatan.
Anwar juga berkata, beliau akan mengusulkan keperluan mewujudkan pusat latihan penguat kuasa KPDN pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
"Saya bawa ke Jemaah Menteri untuk selaraskan dan adakan kerjasama dengan badan lain supaya kemudahan itu dapat dimanfaatkan....
"Oleh kerana rasional pusat latihan itu sangat mendesak maka kita harus segerakan melalui peluang dan kemudahan sedia ada, kita pinjam daripada jabatan (lain), kita akan selaraskan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!